.

Friday, July 24, 2009

Di aTaS SeJADAH KesyuKuRaN

Hidup kita memerlukan garis panduan yang menjadi nadi pada sebuah perjuangan ke destinasi yang dituju. Adakala kita terumbang-ambing dihanyut gelora dan badai kehidupan yang alpa namun kita sering dikejutkan dengan jambangan kesedaran yang mengembalikan kita di atas sejadah kesyukuran. Tiap-tiap yang kita usahakan di atas bumi ini sesungguhnya adalah satu KURNIAANNYA...bermaksud ianya bersifat pinjaman dan tak mungkin kekal menjadi milik kita yang abadi..Percaya ataupun tidak sebenarnya setiap insan punyai kualiti keunikan diri tersendiri. Ciri-ciri keistimewaan yang dianugerahkan TUHAN kepada hambanya yang sentiasa mensyukuri atas segala pemberian tanpa rasa protes adalah kekuatan hambaNya yang cemerlang. Berterima kasihlah atas segala pemberian TUHAN...

Apa sahaja yang pernah kita miliki adalah hadiah kepada apa yang pernah kita usahakan. 'Hadiah' bermaksud pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberi sama ada berbentuk jasa mahupun perkhidmatan. Apa pun kejayaan yang kita kecapi, bantulah mereka yang juga mempunyai keinginan yang sama iaitu untuk berjaya. Berbekalkan rasa kesyukuran di atas pemberianNya maka tidak salah kiranya kita menghulurkan rasa keikhlasan membantu insan yang meminta pertolongan. Apatah lagi insan itu mempunyai potensi diri yang boleh dibangunkan. Berilah sokongan kepada orang yang ingin berjaya dalam hidupnya. Percayalah setiap bantuan yang kita hulurkan diberi rahmat yang berganda dan hidup kita dilimpahi kurnia kebahagiaan yang tidak kita jangkakan..

Di bumi TUHAN ini, kita cuma insan kerdil yang serba kekurangan..namun kita telah diberi hak keistimewaan, atas usaha yang kita tanamkan maka kita berkemampuan dan berkesanggupan menempuh cabaran dan liku-liku kehidupan..Tiada yang terbaik melainkan kita berusaha menjadi yang terbaik dan sesungguhnya kita perlu senantiasa menyedari bahawa tiap-tiap kelemahan yang kita lihat bukanlah satu petanda keburukan yang seharusnya kita hindari sebaliknya TUHAN ingin kita menerima segala kesulitan dan kesukaran yang sengaja didatangkan kepada kita untuk melihat sejauh mana kita sudi mendepani dengan rasa ikhlas. Di atas sejadah kesyukuran, kita tidak mampu menolak keikhlasan yang tertanam di dasar hati apabila kita memilih untuk melakukan kebaikan dengan meletakkan sifat-sifat positif dalam diri dan sentiasa bersangka baik. Percayalah, tiap-tiap kebaikan yang kita lakukan..TUHAN membalasnya dengan kebaikan juga..

No comments:

Post a Comment