.

Friday, February 19, 2010

❥MAHU BINA SEJARAH ATAU JADI SEJARAH?..❥




Memetik kata-kata Pengarah Pelajaran Johor, tajuk di atas antara yang boleh memotivasikan kita untuk berfikir sejenak dan membuat pilihan. Kita selalunya unik bila kita mempunyai fikiran dan tindakan yang kreatif dan menarik. Apabila kita bertindak lain dari yang lain, orang di sekeliling kita tidak akan mudah melupakan apa yang kita pernah lakukan terutama ketika kita bersama-sama dengan mereka. Adakala tindakan kita membuat orang lain berfikir yang kita ini benar-benar gila apatahlagi apa yang kita cuba lakukan itu memang gila pada pandangan mata orang yang melihatnya. Namun, ahli falsafah pernah mengatakan bahawa untuk menjadi orang yang hebat dan bijak kita harus ada sedikit kerja gila kerana perbuatan gila ini akhirnya menjadi sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila. Ramai orang mungkin menganggap kenangan sebagai sesuatu yang telah berlalu. Kenangan adalah lipatan sejarah yang mungkin lama-kelamaan hanya dikenali sebagai tugu peringatan dalam minda..Ada juga yang mentafsirkan kenangan sebagai bahan sejarah yang sesekali diingati bila perlu ataupun terkenang masa lalu. Apapun tafsiran mengenai kenangan tidak menjadi persoalan yang besar tetapi bila kita terlibat dalam kenangan itu...mungkinkah kita diingati?dikenang?atau disebut-sebut?


Sesebuah organisasi yang hebat adalah kerana MISI dan VISInya yang juga hebat. Setiap organisasi tidak akan sama kerana kepimpinan dasarnya tidak sama. Sebagai seorang ketua, setiap keputusan kita dalam organisasi melambangkan corak pemerintahan yang kita bina. Sesungguhnya apa yang kita hasilkan juga menampakkan imej siapa diri kita yang sebenarnya. Setiap ketua yang baik akan dikenang sebagai orang yang baik tetapi sebaliknya jika kita menjadi ketua yang tidak disukai maka kita mungkin cuma akan menjadi sejarah kepada organisasi kita.


Apa itu membina Sejarah? Membina sejarah ialah sesuatu yang kita lakukan yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain dan menyebabkan orang lain rasa kagum dengan kebolehan dan kesanggupan kita. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain tetapi kita membuktikan ketidakmampuan itu sehingga membuat orang lain menghargai hasilnya. Sesuatu yang berbentuk cabaran yang kita sedia hadapi walaupun orang lain mengangkat tangan menyerah kalah. Sesuatu yang mempunyai persaingan dan kita cekal, tabah dan mempunyai hati yang kebal meneruskan di saat orang lain berhenti. Sesuatu yang tidak terfikir oleh orang lain tetapi kita boleh memikirkannya. Sesuatu yang selalunya TIDAK BOLEH pada fikiran orang lain tetapi BOLEH dalam fikiran kita. Sesuatu yang menjadi penghalang bagi orang lain tetapi bukan rintangan bagi kita. Sesuatu yang besar bagi kita tetapi kecil bagi orang lain. Sesuatu yang boleh orang lain memperingati dan mengenang jasa kita. Sesuatu peninggalan yang meninggalkan cerita dan kisah yang mempamerkan pelbagai emosi tatkala kita mengingatinya. Sesuatu yang menyebabkan kita rindu untuk mengulanginya dan seterusnya membina satu lagi sejarah yang baru...Pernahkah kita merasai kehilangan yang besar dalam hidup kita tentang seseorang? Jika kita pernah merasainya maka seseorang itu pernah membina sejarah dalam kehidupan kita. Pernahkah kita merindui seseorang yang pernah terkesan di hati kita?Jika pernah maka seseorang itu pernah membina sejarah di dalam hati kita. Bila kita telah membina sejarah, hasil peninggalan kita akan menjadi ingatan yang berharga pada setiap orang, ia akan menjadi bahan cerita dan contoh untuk diikuti malah disanjungi. Ibarat bangunan-bangunan sejarah yang berdiri sebagai peringatan kita..sama juga tokoh-tokoh perjuangan tanah air yang berjuang memerdekakan negara dari terus dijajah. Begitulah hebatnya kesan jika kita membina sejarah..

Apa pula menjadi sejarah? Apa bezanya menjadi sejarah dan membina sejarah?.. Memang berbeza..Menjadi sejarah adalah cuma tinggal sebagai kenangan dan ingatan. Sesuatu yang pernah menyakitkan. Sesuatu yang biasa berlaku dan kalau boleh kita tidak mahu lagi ia berlaku. Sesuatu yang pahit untuk diterima namun kita telan jua kerana terpaksa menghadapinya. Sesuatu yang menakluk minda kita pada suatu ketika dan kita hanya kesal memperingatinya. Sesuatu yang kita jadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Kita akan hanya menjadi sejarah bila orang tidak menyukai kita, apa yang kita lakukan pernah mencalar hati orang lain. Mungkin nama kita diingati tetapi orang lain akan hanya ingat nama kita tetapi tidak dapat mengkagumi dan menghargai apa yang pernah kita hasilkan. Ibarat kesan penjajahan di Tanah Melayu, kita cuma ingat British dan Jepun sebagai bangsa penjajah tetapi kita tidak dapat kenang budi mereka di tempat kita kerana kekejaman mereka..dan inilah yang dikatakan menjadi sejarah...Bezakan? Membina sejarah dan menjadi sejarah?..Jadi, bila kita membina sejarah kita akan sentiasa dikenang, sebaliknya jika kita cuma menjadi sejarah mungkin kita tidak memberikan apa-apa makna.

Tuesday, February 9, 2010

UKIRKAN KEHEBATAN DALAM MINDA


Apakah sebenarnya rahsia kehebatan anda? Rahsia paling asas bila kita mengetahui di mana letaknya kehebatan kita. Motivasi dan ransangan adalah suatu pencetus dari dalam diri untuk menjadi insan yang lebih berkualiti.
Kalimat-kalimat yang hebat melahirkan jiwa yang hebat. Justeru, apabila inginkan kejayaa, ulangilah kalimat-kalimat kejayaan ini sehingga jiwa terkesan dengannya. Mari sama-sama kita renungkan sebuah kisah

"Victor Seribriakoff adalah pelajar yang mempunyai otak yang baik. Semasa berusia 15 tahun, gurunya mencemuhnya dan mengatakan dia adalah pelajar yang bodoh. Guru itu mencadangkan dia berhenti sekolah dan mencari kerja biasa yang dia minat. Victor mengikut kata cikgunya dan telah menjadi seorang penganggur selama 17 tahun. Semasa berusia 32 tahun, Victor tiba-tiba menduduki ujian kepintaran dan keputusannya amat mengejutkan kerana dia berjaya menunjukkan dia telah mengatasi kepintaran IQ orang lain yang menduduki ujian yang sama. Victor mulai sedar keistimewaan dirinya dan sejak dari tarikh itu, dia betukar menjadi seorang penulis dan akhirnya dilantik menjadi Presiden Mensa International Society. Perubahan pada minda Victor menjadikan dia individu yang berbeza. Dulu Victor yang rendah diri dikenali sebagai seorang pelajar yang bodoh oleh gurunya. Malah cemuhan dan herdikan gurunya sangat sinonim dengannya. Dia bertukar menjadi seorang yang bercita-cita tinggi serta mempunyai keyakinan diri yang hebat. Ini adalah kerana RUNTUHNYA ukiran "AKU BODOH" daripada mindanya dan digantikan dengan ukiran "AKU SEBENARNYA HEBAT!"

Sesungguhnya. minda mempunyai pengaruh yang besar kepada diri individu. Apabila minda memberitahu kita bahawa sepatutnya kita sakit, kita akan sakit. Apabila ia memaklumkan kita bodoh maka kita akan bertindak sebagai orang yang bodoh. Sebaliknya apabila ia berkata kita boleh, maka banyak perkara yang boleh kita lakukan dalam kehidupan ini. Sperti jam berdetik, minda akan menggerakkan anda mengikut perkara yang telah ditetapkan dalamnya. Justeru, masukkan ke dalam minda anda perkara yang positif dan anda pasti akan melahirkan tindakan yang juga positif..

Sunday, February 7, 2010

SIAPAKAH KAWAN KITA YANG SEBENARNYA...

Manusia tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.


Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.


Pendek kata sahabat boleh menentukancorak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Slaeri dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud : "Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya" (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, "Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita"


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: " Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:



  • Jika anda berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu

  • Jika anda rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu

  • Jika anda menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik

  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (Bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikan kamu

  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada anda, dia akan menutupnya

  • Jika anda meminta bantuan daripadanya, dia akan cuba melaksanakannya

  • Jika anda berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu

  • Jika datang sesuatu bencana menimpa anda, dia akan meringankan kesuasahan anda

  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu anda

  • Jika anda berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan

  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan dunia dan akhirat
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu, berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.


Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat mempunyai ciri berikut:

Sahabat yang tamak : ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan hanya mementingkan diri sendiri


Sahabat Hipokrit : ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong, dan jika ada kesempatan keperluan membantu, ia menyatakan tidak sanggup

Sahabat Pengampu : Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran. Di hadapan anda dia memuji anda, dan di belakang anda dia merendah-rendahkan diri anda


Sahabat Pemboros dan Suka Hiburan : Dia menjadi kawan anda jika anda suka pesta, suka berkeliaran dan 'melepak' pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang.

Setiap insan tidak dapat lari daripada mempunyai kawan atau sahabat dalam kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar yang memerlukan sokongan, dorongan dan bantuan daripada pelajar lain dalam menghadapi alam persekolahan. Mustahil seseorang pelajar itu dapat menempuh alam persekolahan tanpa seorang sahabat.
namun demikian perlu diingatkan bahawa kita hendaklah berhati-hati dalam memilih kawan agar kita sentiasa mendapat kebaikan dan tidak terjerumus ke dalam perkara yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT. Seorang kawan boleh mendatangkan banyak kebaikan tetapi sekiranya tersilap pilih kawn maka ia boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk.

Akibat buruk sekiranya kita tersilap memilih kawan:

1. Berkawan dengan orang yang mempunyai hati yang dengki mengheret kita melakukan kejahatan

2. Terpengaruh melakukan dosa dan kerosakan. Sekiranya kawan kita suka mengumpat, mencarut, menabur fitnah dan sebagainya, lambat laun kita juga akan bersifat sedemikian walaupun sebelum itu kita adalah seorang yang pendiam.

3. Hilang minat untuk belajar. Teman yang jahat lebih cenderung untuk melakukan kejahatan dan hatinya tertutup untuk menuntut ilmu. Ilmu tidak akan bertempat di hati yang kotor disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Bila ilmu diabaikan maka tuggulah kemusnahan dan kegelapan masa depannya...

MoTiVaSiKaN DiRi, CaPai KuaLiTi daN TinGkaTkan PrestaSi

Membaca adalah sumber yang memberi kita pengetahuan dan menimba pengalaman. Melalui pembacaan, secara tidak langsung kita telah mendorong diri mengetahui sesuatu yang kita belum pernah tahu dan juga memperakui pengetahuan sedia ada kita. Bagaimanapun, membaca dan mempunyai pengetahuan yang luas sahaja tidak memadai. Setiap tindakan perlukan kehangatan M.O.T.I.V.A.S.I yang amat tinggi. Ramai orang berpengetahuan tapi bukan semuanya dapat menggunakan pengetahuan mereka semaksimum yang mungkin. Semua orang boleh memiliki ijazah tapi tidak semua mereka berjaya dalam hidup kerana segulung ijazah itu.

M.O.T.I.V.A.S.I dapat meningkatkan kualiti kerja kita. Setiap hari kita akan lebih bersedia menerima tugas dan melaksanakannya tanpa ada rasa gagal. Kita akan berusaha mencapai matlamat yang kita sendiri sasarkan. Malah kita akan lebih bersemangat dan mempunyai jiwa yang kental menghadapi segala tekanan terutama yang melibatkan emosi. Motivasi yang tinggi akan menggagalkan kekalahan yang seringkali menjadi musuh utama kita.
Bagaimana untuk mengetahui kita seorang yang betul-betul bermotivasi?..

Semua yang sukar kita tempuh..
Semua yang menyakitkan kita hadapi..
Semua yang gagal, kita bangkit kembali..
Semua yang benci, kita sayangi..
Semua yang terpaksa, kita hulur memberi..
Semua yang tidak pasti, kita jadikan realiti..

Saturday, February 6, 2010

MENGKAJI KELEMAHAN DIRI SENDIRI DENGAN TIDAK MENYALAHKAN ORANG LAIN



Pernahkah kita melahirkan rasa bersalah terhadap orang lain?terhadap diri sendiri?..atau adakah kita selalu merasakan diri kita sempurna?terbaik?lebih hebat daripada orang lain?....

Seberapa banyak kita mengakui kesilapan, menyatakan kesalahan, memberitahu kelemahan pada diri sendiri menunjukkan kita sentiasa sedar bahawa kita mempunyai kekurangan. 

Jika kita menyedari semua kelemahan kita, kita akan kurang menyalahkan orang lain. Sikap ini jarang berlaku kerana manusia memang mempunyai sikap egois yang tinggi. Kita sering menjerit memberitahu kesalahan orang lain tapi bila kita yang melakukan kesalahan yang sama kita cuma berdiam dan menyembunyikan kesilapan itu. Kehebatan kita adakalanya menjerat sikap kita sebenarnya. Hebat menjatuhkan orang lain, hebat menyebabkan orang lain terpengaruh dengan kelemahan yang ada di dalam diri kita.

Jika kita tidak dapat menerima kesalahan yang pernah dilakukan oleh orang lain terhadap kita, adakah orang lain juga berbuat perkara yang sama? Sebenarnya jika kita sering menyalahkan orang lain, tanpa kita sedari..sebenarnya kita juga melakukan perkara yang sama yang menyebabkan orang lain selalu menyalahkan kita. Kajilah kelemahan-kelemahan yang ada di dalam diri kita, moga-moga dapat diperbaiki menjadi orang yang lebih bermakna..menjadi orang yang mudah didampingi, mudah diterima...Bila kita mudah menerima orang lain, maka diri kita juga akan mudah diterima..

Wednesday, February 3, 2010

mULaKaN seTiaP Hari AnDa DeNgAN SeNyuMan

Kadang-kadang kita tidak dapat melindungkan wajah yang kecewa, marah, berduka dan sering juga sedih apabila semua emosi itu menyelubungi kehidupan kita. Setiap hari pasti ada sahaja corak emosi yang kita pamerkan di wajah namun tahukah anda bahawa PENAWAR nya adalah S.E.N.Y.U.M.A.N... Kita terlupa senyuman itu satu seri pada hari-hari yang kita tempuhi. Jika kita pernah tersenyum hanya di waktu gembira, mulakanlah dengan hari ini, setiap emosi yang kita alami dengan senyuman. Pada setiap senyuman itu, perasaan negatif yang kita alami akan berkurangan. Senyumlah walau cuma di hati kerana senyuman itu dapat menenangkan jiwa yang berkecamuk.

Mulakan setiap hari anda dengan senyuman. Waima anda dalam keadaan marah sekalipun senyuman masih dapat diukir jika anda pilih untuk tenang. Namun jika anda memilih untuk dikuasai emosi, kecelaruan minda tidak akan berhenti. Ketahuilah, setiap apa yang kita lalui itu adalah yang terbaik untuk kita tempuhi. Sekalipun yang datang itu, sesuatu yang kita tidak pernah suka, ia tetap yang terbaik didatangkan kepada kita kerana belum tentu esok menjanjikan yang lebih baik daripada hari ini.

MeNeRiMa PeruBaHaN PerLuKaN MaSa

Setiap sesuatu yang baru itu belum tentu mudah untuk diterima. Adakala ia sangat sukar, apatah lagi bila kita belum dapat meyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Bagaimanapun hidup ini lama-lama akan menjadi satu kebiasaan. Kita perlu belajar dari permulaan untuk berada di satu puncak. Sikap tidak mudah berputus asa dan sentiasa belajar sesuatu yang baru itu akan memudahkan lagi kita menerima dengan hati yang lebih yakin dan ikhlas. Pengalaman yang lalu akan selalu hadir sebagai perbandingan tentang apa yang kita ada pada hari ini. Jika kita selesa dengan keadaan yang lama, kita juga akan selesa dengan keadaan yang baru kerana kepuasan itu adalah datangnya dari diri kita. Sesungguhnya mempunyai pengalaman dalam tempoh 10 tahun di tempat yang berbeza itu lebih baik berbanding mempunyai pengalaman dalam tempoh 10 tahun di tempat yang sama kerana banyak perkara baru yang perlu kita pelajari untuk memantapkan kematangan pemikiran dan erti hidup.