Isi Alam Slideshow: Luvrina’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to was created by TripAdvisor. See another Malaysia slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.
Sunday, July 24, 2011
Tuesday, July 19, 2011
Di SebaLik KeHebaTaN, Di SebaLiK KeLeMaHaN
Add caption |
Kata-kata diatas merujuk kepada peribadi individu tertentu yang dikaitkan dengan tindakan psikologi yang menjadi kesan afektif apabila seseorang individu itu dewasa dalam persekitarannya. Ramai orang adakala tidak peka dengan keadaan persekitaran yang mampu meransang perubahan tingkah laku individu. Ternyata individu yang bermotivasi tinggi sahaja yang berketerampilan sebagai personaliti yang positif.
Sebenarnya kata-kata diatas adalah sebahagian daripada petikan ucapan seseorang yang saya kagumi. Kata-katanya telah memberi sentakan minda kepada saya untuk mengupas semula apakah di sebalik kehebatan dan kelemahan seseorang untuk melangkah sebagai orang yang berjaya. Pengalaman lalu memberikan pengetahuan yang bermakna untuk saya kongsikan supaya moga-moga kita yang sememangnya sudah hebat akan terus menjadi insan yang gemilang sebaliknya jika kita merupakan insan yang lemah dan mempunyai banyak kekurangan maka suntikan motivasi ini, InsyaAllah akan menjadikan kita insan yang lebih hebat dari yang kita pernah jangkakan.
Sehebat manapun kita dalam apa yang kita ceburi, sejauh mana pengiktirafan yang diberikan kepada kita dan setinggi apa pun sanjungan yang dipersembahkan untuk kita...,kita masih insan biasa yang ada masanya diundang rasa bersalah. Terkadang rasa terkilan apabila orang yang berada di bawah pimpinan kita tidak menyokong atau menentang apa yang diperjuangkan oleh kita. Hebat manapun kita, bila hati kita tersentuh, berkecil hati..tersinggung, jika tidak terbuka menerima kritikan dan teguran kita pasti akan rasa lemah untuk meneruskan perjuangan. Kita memang memerlukan orang di sekeliling kita untuk menjadi orang yang hebat.
Selemah apapun kita, kekurangan dan keburukan yang kita miliki, kita masih ada ruang, ada peluang untuk diberi tempat yang tertinggi dalam pilihan orang untuk menjadikan kita insan yang terhebat. Dengan motivasi-motivasi yang mempengaruhi kehidupan, jiwa kita akan tersentuh untuk berubah bila tiba waktunya..dan yang paling penting bila ada kesedaran..pastinnya sebagai insan kita akan tersentuh dengan nasihat-nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar, peluang yang diberikan sebagai satu penghargaan. Kita akan menjadi lebih hebat apabila bersedia melakukan perubahan dari dalam diri..
"The largest room in the world is self-improvement"
Sesungguhnya setiap orang adalah hebat. Setiap orang harus diberi peluang untuk menjadi insan yang hebat kerana apabila ramai orang-orang yang hebat dilahirkan ke dunia ini maka banyaklah perkara yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan semua. Orang yang hebat mesti membantu orang lain untuk menjadi hebat juga. Orang yang hebat adalah orang bangkit dari kesilapan, bangkit dari kekurangan, bangkit dari kegagalan seterusnya mencipta kejayaan demi kejayaan..
Sunday, June 19, 2011
Dimensi Kejayaan
Setiap kejayaan mesti dirancang kerana tiada kejayaan yang terjadi dengan sendiri. Bukan mudah untuk menawan puncak gunung kerana ia terletak terlalu tinggi. Begitu jua halnya dengan kejayaan kerana ia berada di tangga teratas. Dalam kehidupan ini, kejayaan tidak hanya terbatas pada satu aspek sahaja. Kejayaan bukan semata-mata berjaya memiliki segulung ijazah, bukan sekadar lulus dalam peperiksaan. Kejayaan lebih dari itu. Kejayaan seseorang adalah bermula dari langkahnya yang pertama. Apakah sterusnya yang dilalui mampu diatasi. bagaimanakah peringkat-peringkat kesukaran yang ditempuhnya membekalkan cukup kesabaran dalam dirinya untuk meneruskan langkah.
Bukan mudah mendakap kejayaan apatah lagi jika halangan-halangan besar menjadi dinding keterbatasan akal untuk mencapainya. Oleh kerana itu, ianya perlu dirancang dengan teliti. Tidak kiralah apa pun jua yang kita inginkan dalam kehidupan ini, rancanglah agar matlamat terlaksana. Bila kita sudah berjaya merancang, kita akan juga berjaya menempuhnya seterusnya berjaya memiliki apa yang kita inginkan. Itulah kepuasan yang kita cari.
Kejayaan tercipta dalam pelbagai dimensi. Kejayaan tidak terhenti dengan satu kejayaan sahaja kerana kesinambungannya berterusan. Kehidupan ini selagi belum terhenti maka di situlah terletaknya banyak kejayaan yang perlu kita kecapi. Sekali kita berjaya bukan bermakna kita akan sentiasa berjaya sebab itu kita harus merancang...kerana kehidupan ini juga perlu dirancang dengan sebaiknya.
Liku-liku yang dijalani untuk mendapatkan sebuah kejayaan bukanlah sesuatu boleh dipandang mudah. Setiap orang yang berjaya pernah menangis, pernah kecewa, pernah melalui ertinya derita, pahitnya kehidupan. Melangkah tanpa rasa jemu, semua itu bukanlah halangan..bukanlah tembok batu yang menghalang. Itulah kehidupan..jalanan yang perlu diseberangi untuk menikmati yang lebih baik. Oleh kerana itu bila kita kehilangan sesuatu yang amat kita sayangi percayalah kita akan didatangi dengan sesuatu yang lebih baik.
Kadang-kadang kita terlupa, kesedihan memberikan kita satu makna kegembiraan sebenar, kekecewaan mengajar kita satu erti kejayaan yang tidak terduga. Kenapa perlu berhenti untuk mencari kemenangan dalam diri sendiri?kenapa berhenti untuk berjalan? kenapa tidak menghargai setiap perjalanan yang pernah kita tempuh? Bukankah kemanisannya bila kita berjaya mematahkan segala kekalahan? Kejayaan yang paling besar adalah apabila kita merasa puas selepas kita melakukan yang terbaik.
Tiada satu usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan telah menjanjikan bagi tiap-tiap manusia yang berusaha itu dengan kejayaan. Hanya orang yang lemah dan tidak meyakini dirinya sendiri sahaja yang tidak pernah nampak kejayaan itu. Orang yang sengaja membutakan matanya untuk melihat kejayaan orang lain sebagai pendorong, orang yang memekakkan telinganya mendengar cerita-cerita kejayaan orang lain dan orang yang membisukan mulutnya untuk bertanyakan dan bercakap mengenai kejayaan orang lain sebagai inspirasi dalam diri.
Setiap kejayaan itu tentulah banyak pengorbanannya. Apabila kita sanggup untuk berkorban, kejayaan bukanlah asing untuk kita. Jika kita ingin berjaya dalam hidup, pandanglah dari semua dimensi. Berjaya dalam pelajaran, berjaya dalam kerjaya, berjaya memilih kehidupan, berjaya dalam persahabatan...
Saturday, June 18, 2011
Airmata RajuK dan TitiPaN Doa
Menyedari perjalanan hidup selalunya di luar jangkaan, hari ini mungkin tidak seperti apa yang pernah kita fikirkan di hari semalam malah hari esok pula belum pasti seperti yang kita rancang pada hari ini. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana kita berjalan di atas makrifatNya. Tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan dan khilaf, begitu jua setiap insan yang bersalah itu tidak harus dihukum untuk tidak berpeluang melakukan perkara yang betul. Airmata ini akan terus jatuh dan menitis tiapkali bertemu ruang kegelapan. Namun apakah sudah tidak ada lagi ruang kejernihan untuknya???
Tuhan sering memberi peluang kepada hambaNya yang berdosa, apakah kehebatan yang ada kepada kita untuk tidak memberi peluang untuk orang lain memperbetulkan kesilapannya? Apakah hak kita untuk menyingkirkan seseorang yang kita anggap bersalah hanya semata-mata mengikut rasa hati kita sendiri?
Jika kita membenci memadailah dengan rasa insaf memiliki hati yang keruh dalam jiwa yang penuh kegelapan...kerana benci yang kita hadirkan cuma pembakar kepada ego-ego yang kita sisipkan. Ya..adakala tekanan yang kita alami amat memedihkan hati, memadailah dengan airmata pembasuh luka di hati, airmata yang penuh rajuk di hati, tak disimpan untuk rasa benci. Cukuplah dengan airmata kita cuba mencari tenang bukan musuh yang meleburkan hati. Tangisan bukan untuk mencipta seribu lagi kedukaan, ia sebagai menggugurkan luka-luka yang terhiris di jiwa, moga-moga air mata yang berguguran itu akan gugur bersama kesedihan yang datang menghiba. Biarlah rajuk seketika membawa hati yang lara tapi bukan dendam yang ditinggalkan bersisa.
Airmata dan rajuk kita terhadap seseorang biarlah dititipkan bersamanya setulus doa. Jika dia pernah berdosa kepada kita, doakanlah agar Tuhan membuka pintu hatinya memberi pengampunan atas segala perbuatannya. Jika dia pernah menyakiti dan mengguris perasaan kita, doakanlah moga Tuhan menganugerahkan sekeping hati yang tulus kepadanya. Jika kita kita tidak mampu untuk melupakan segala kejahatan yang pernah dilakukan kepada kita, doakanlah moga dia membalas segala kejahatan dengan kebaikan kepada kita. Tiada yang mustahil, kerana hanya kita yang mampu merubahnya. Moga-moga apa yang kita lakukan dibalas dengan seribu kerahmatan dariNya...Hanya Dia yang tahu.
Hati KristaL
Apa yang terluah dari hati adalah apa yang kita ingin orang lain cuba mengerti. Adakah pasti yang diluahkan itu dapat difahami dan dimengerti dengan baik? Terpulang bagaimana cara seseorang itu menerimanya. Namun rasa terkilan akan berlaku sekiranya maksud hati itu tidak dapat betul-betul difahami..atau cetusan rasa tidak benar-benar dirasai sebaliknya apa yang ada cuma rasa sakit di hati.
Dalam hati kita, hanya kita yang tahu segala rasa yang tersimpan, walau kita cuba menyampaikan bersungguh-sungguh, penerimaan seseorang tidak mungkin sama. Ada yang menghargai, ada yang membenci, ada yang teruja, ada juga yang menginsafi malah ada juga yang bersyukur..namun kita tidak boleh memaksa untuk orang lain fahami apa yang tersimpan di hati kita. Mungkin tidak tercapai dek akal semua orang untuk menelusi setiap maksud bicara dari hati memadailah seandainya yang menilai itu sama ada baik ataupun buruk berilah peluang kepada si penilai untuk menentukan. Jika tidak sampai maksud di hati, sesungguhnya percayalah pada diri sendiri bahawa niat yang baik tidak semuanya terlihat..terkadang tersimpan dan terkunci di hati.
Perasaan marah dan benci bukanlah kudrat kita menghalanginya, ia terzahir kerana tidak sempat memberi ruang kepada akal menimbangkannya. Maka janganlah engkau kecewa dengan segala yang pernah menyakiti hatimu. Redhalah menerimanya. Pasrahlah dalam ketentuanNya yang lebih mengetahui. Didiklah hatimu supaya mempunyai kekuatan dalam mengharungi segala ujian dan cabaran. Hati yang tabah..di dalamnya jernih dan bersih seperti 'Hati Kristal'..
Monday, February 28, 2011
MaRaHkan Diri SenDiri, PerBaiki Diri
Sikap marah adalah salah satu dari sikap-sikap negatif. Apabila kita jadi orang yang kena marah, itu maknanya kita adalah orang yang lebih banyak terdorong melakukan banyak kesilapan. Adakala kemarahan yang diterima itu memercikkan api-api kebencian kepada si pemarah. Fikiran kita negatif, kata-kata marah yang diungkapkan terhadap kita akan cuma meninggalkan kesan yang tercalar di hati, walaupun kata-kata marah itu cuma sebagai nasihat atau bimbingan.
Sejauh manakah emosi MARAH akan memberikan persepsi yang baik terhadap individu yang sentiasa dimarahi?..Situasi marah-marah ini boleh menyemarakkan rasa DENDAM yang mendalam, rasa tertekan yang menyiksakan. Jadi, apakah kepentingan MARAH sebenarnya kepada si peluah?Adakah kita akan merasa lebih lega dan tenang selepas meluahkan rasa marah itu?..
Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman suka marah-marah, ingin saya kongsikan pengalaman marah yang boleh dijadikan sempadan dalam kehidupan. Saya tidak mahu menceritakan kisah marah saya tetapi saya ingin anda menyelami emosi yang saya alami selepas memuntahkan kemarahan-kemarahan yang sebati dalam diri saya. Setiapkali melontarkan kemarahan, saya akan mengutuk diri saya sendiri. Pada dasarnya orang yang dimarahi akan respons saya seorang yang ego..hakikatnya tidak, selesai sahaja 'memarahi', saya akan marahkan diri saya sendiri kerana tidak mampu mengawal emosi..seringkali gagal melembutkan hati berdepan dengan cabaran-cabaran yang menduga kesabaran akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang yang dimarahi. Walau marah mana sekalipun kita, sebenarnya kita memang sudah tidak dapat mengubah keadaan yang terjadi jadi perasaan marah itu cuma luahan yang sia-sia jika tidak berpada-pada. Sebelum kita memulakannya dengan marah...Marahlah diri kita sendiri agar dapat perbaiki kelemahan diri.
Nak berjaya, nak bahagia, kita perlu membentuk diri kita menjadi orang yang pandai mengawal rasa marah. Seorang pemarah sebenarnya menyembunyikan KEMELUT kehidupan yang dialami. Biar kita yang mengawal marah, bukan marah yang mengawal kita lalu menukar kita menjadi bentuk-bentuk marah yang dilambangkan...Orang yang marah-marah sebenarnya seorang yang menyimpan masalah serta takut dengan bayang-bayangnya. Marah adalah sebahagian daripada diri kita kerana marah tu adalah emosi kita.
Emosi boleh dikawal. Caranya adalah dengan mengurangkan emosi asal kemudian menukarkannya dengan emosi lain.
Lawan marah adalah ketenangan. Untuk mengawal rasa marah, fokus kepada melatih diri untuk bertenang.
Marah sifatnya api. Api punya selalunya menjadi pembinasa sebab api memakan semua yang dibakar olehnya. Apa saja yang bersifat api pasti membakar, memusnah, termasuklah sikap marah.
Marah yang tidak dikawal akan membakar persahabatan, perhubungan adik beradik dan perhubungan cinta lalu menjadikannya tidak bermakna lagi. Sesiapapun tak akan suka mendekati Anda apabila Anda menjadi orang pemarah, suka marah-marah, cepat naik marah.
Mulai hari ini, elakkan sikap mudah marah, suka marah-marah. Elakkan sikap menampakkan air muka PEMARAH kerana sikap sebegitu akan menghancurkan jalan anda menuju kejayaan dan kebahagiaan.
Elakkan sikap marah, kurangkan dan kawal. Cabaran paling besar untuk kita berjaya dalam bidang kita bukanlah dari luar, tapi dari dalam diri kita sendiri. Kita berdepan dengan cabaran mengawal sikap marah yang dah lama ada dalam diri kita.
Thursday, February 24, 2011
Nano Kehidupan
"Orang yang tidak percaya pada diri sendiri tidak ada tempat
di dalam lembaran sejarah orang-orang abadi, kerana peribadi
mereka yang kaku dan sangsi itu telah menutup segala
pintu dan jalan kepada kejayaan dan ketinggian..."
Hanya seseorang yang berjiwa besar sahaja yang dapat menggunakan kesakitannya itu sebagai guru yang mengasuh jiwa dan mengilhamkan fikiran yang sihat dan pengertian yang mendalam terhadap hidup.
Ambillah waktu untuk berfikir, kerana itulah sumber kekuatan minda..
Ambillah masa untuk bermain, kerana itulah rahsia masa muda kita...
Ambillah waktu untuk berdoa, kerana itulah sumber ketenangan di hati..
Ambillah waktu untuk belajar, kerana itulah sumber kebijaksanaan yang kita terokai..
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, kerana itulah hak istimewa dari Tuhan..
Ambillah waktu untuk bersahabat, kerana disitu tercipta keseronokan..
Ambillah waktu untuk tertawa, kerana itulah alunan muzik yang menggetarkan hati..
Ambillah waktu untuk memberi, kerana itu membuat hidup rasa amat beerti..
Ambillah waktu untuk bekerja, kerana itulah nilai keberhasilan kita..
Ambillah waktu untuk beramal, kerana di situlah kuncinya pintu syurga...
Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain telah dibukakan. Tetapi seringkali kita terpaku pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita. Dalam hidup, terkadang kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita ingini... dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya.. kita tahu bahawa yang kita inginkan kekadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia.
Tidak ada insan yang suci yang tidak mempunyai masa lampau, juga tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Maka setiap tindakan kita sama ada yang kita lakukan itu diselangi rasa bersalah atau pun tidak pasti ada pengajarannya. Sekecil- kecil zarah..atau diselindungi nano..kehidupan tidak pernah menghukum siapa kita kecuali kita yang selalu menjatuhkan hukuman ke atas diri kita sendiri. Itulah "NANO KEHIDUPAN"
Subscribe to:
Posts (Atom)