.

Thursday, June 11, 2009

^MeNJadiKaN KegagaLaN Sebagai PenDoRong, MeleTakKaN KeJayaanN sebaGai InSpiRasi^

Berhadapan dengan usaha-usaha untuk menghasilkan kejayaan adalah satu proses yang rumit dan meresahkan. Adakala usaha itu sia-sia sahaja bila hasilnya tidak membanggakan malah menyebabkan kita tidak boleh mengukir senyuman pun. Masa yang diperuntukkan pula adalah tambatan tempoh yang kadang-kadang meragukan sama ada ia mampu memberi pulangan seperti yang diharapkan ataupun sebaliknya. 

Sementara modal yang kita habiskan mempertaruhkan untung atau rugi terhadap apa yang kita usahakan. Sesungguhnya walau seberat mana keluhan yang kita lepaskan, tiada jalan lain yang boleh memudahkan urusan anda jika memang 'kejayaan' yang anda kejarkan. Semuanya memang bergantung kepada kesanggupan usaha anda melakukannya sehingga anda berjaya. 

Dalam proses menjadi orang yang berjaya sudah tentulah tidak semudah membancuh air kopi..ia memerlukan terlalu banyak pengorbanan dan perjuangan. Kejayaan anda dalam peperiksaan belum boleh membuktikan anda telah berjaya dalam hidup anda tetapi ia merupakan proses permulaan anda melangkah merancang kejayaan yang ditentukan berdasarkan matlamat hidup anda. Erti kejayaan bukan sekadar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi bagaimana kelulusan anda mampu membuat anda menjadi seseorang berpandangan jauh dan mempunyai kerjaya cemerlang dan seterusnya memimpin orang-orang di sekeliling anda turut menjadi orang yang berjaya itulah erti kejayaan sebenar.

Jika dikaji keseluruhannya, di negara kita berapa ramai pelajar yang mendapat bilangan A dalam setiap mata pelajaran yang diambil semasa peperiksaan SPM, STPM, Sarjana Muda, Sarjana telah berjaya dalam hidupnya? Di peringkat Universiti, berapa ramai graduan yang mempunyai pekerjaan tetap?Ada juga yang mendapat keputusan gagal dalam SPM dan STPM tetapi mempunyai pekerjaan tetap malah mengambil peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk memajukan dirinya. 'Kejayaan' seseorang secara terperincinya tidak diukur dengan berapa bilangan A yang kita perolehi dalam peperiksaan-peperiksaan awam yang kita duduki tetapi sejauhmana usaha yang kita letakkan dalam proses membina kejayaan itu. Jika usaha itu membuahkan hasil maka itu adalah satu input yang perlu menjalani satu proses kemenjadian yang dinamakan produk. Maka hasil produk itulah 'kejayaan' yang menunjukkan kualitinya. 

Ramai dalam kalangan kita hari ini mempunyai sikap bangga memperolehi kelulusan cemerlang dan berhenti di situ. Kejayaan tidak akan berada di genggaman anda jika anda tidak berusaha mendapatkannya. Orang yang berjaya memasuki universiti belum dikira berjaya..orang yang memperolehi straight A's dalam SPM dan STPM juga belum berjaya...

Biarlah keputusan peperiksaan anda tidak cemerlang, janganlah putus harapan. Peluang itu sentiasa ada jika anda bijak mencari. Kelulusan yang anda miliki bukan sebagai aras penanda limit kejayaan yang anda boleh capai. Pada dasarnya orang akan melihat semua yang menjadi guru itu mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang namun orang tidak melihat hakikat kepada sesetengah guru itu bahawa ada dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah gagal dalam peperiksaan SPM, STPM dan juga di peringkat universiti. Apakah rahsia mereka yang gagal itu boleh menjadi seorang guru? Meletakkan usaha yang bersungguh-sungguh, bersedia menghadapi kesukaran, menjadikan kegagalan sebagai satu pendorong adalah rahsia kekuatan meletakkan orang yang gagal memperolehi kejayaan. Bagi orang yang pernah gagal, kegagalan bukanlah mimpi ngeri malah mereka berterima kasih atas kegagalan yang mendorong mereka menjadi lebih berjaya...

Berapa lama tempoh untuk berjaya itu tidak dapat ditentukan dengan tepat dan betul. Semuanya bergantung kepada komitmen dan usaha seseorang. Ada yang melakukannya dalam tempoh 5 tahun dan ada juga yang mempertaruhkan sehingga 10 tahun. Pahit maungnya melalui kesukaran, kepayahan, kesusahan dan kesulitan mencari kejayaan akan menjadi manis dan bahagia di akhirnya. Semuanya akan menjadi mudah apabila kita berada di peralihan kejayaan dan sesungguhnya kejayaan yang kita miliki itu sudah pasti akan menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk terus melangkah dan berjaya dalam setiap apa yang kita lakukan..hinggalah suatu masa kita tidak percaya yang kita sudah melangkah sejauh itu. Oleh itu berazamlah dari sekarang, merancang menjadi orang yang berjaya...

No comments:

Post a Comment