.

Friday, February 19, 2010

❥MAHU BINA SEJARAH ATAU JADI SEJARAH?..❥




Memetik kata-kata Pengarah Pelajaran Johor, tajuk di atas antara yang boleh memotivasikan kita untuk berfikir sejenak dan membuat pilihan. Kita selalunya unik bila kita mempunyai fikiran dan tindakan yang kreatif dan menarik. Apabila kita bertindak lain dari yang lain, orang di sekeliling kita tidak akan mudah melupakan apa yang kita pernah lakukan terutama ketika kita bersama-sama dengan mereka. Adakala tindakan kita membuat orang lain berfikir yang kita ini benar-benar gila apatahlagi apa yang kita cuba lakukan itu memang gila pada pandangan mata orang yang melihatnya. Namun, ahli falsafah pernah mengatakan bahawa untuk menjadi orang yang hebat dan bijak kita harus ada sedikit kerja gila kerana perbuatan gila ini akhirnya menjadi sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila. Ramai orang mungkin menganggap kenangan sebagai sesuatu yang telah berlalu. Kenangan adalah lipatan sejarah yang mungkin lama-kelamaan hanya dikenali sebagai tugu peringatan dalam minda..Ada juga yang mentafsirkan kenangan sebagai bahan sejarah yang sesekali diingati bila perlu ataupun terkenang masa lalu. Apapun tafsiran mengenai kenangan tidak menjadi persoalan yang besar tetapi bila kita terlibat dalam kenangan itu...mungkinkah kita diingati?dikenang?atau disebut-sebut?


Sesebuah organisasi yang hebat adalah kerana MISI dan VISInya yang juga hebat. Setiap organisasi tidak akan sama kerana kepimpinan dasarnya tidak sama. Sebagai seorang ketua, setiap keputusan kita dalam organisasi melambangkan corak pemerintahan yang kita bina. Sesungguhnya apa yang kita hasilkan juga menampakkan imej siapa diri kita yang sebenarnya. Setiap ketua yang baik akan dikenang sebagai orang yang baik tetapi sebaliknya jika kita menjadi ketua yang tidak disukai maka kita mungkin cuma akan menjadi sejarah kepada organisasi kita.


Apa itu membina Sejarah? Membina sejarah ialah sesuatu yang kita lakukan yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain dan menyebabkan orang lain rasa kagum dengan kebolehan dan kesanggupan kita. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain tetapi kita membuktikan ketidakmampuan itu sehingga membuat orang lain menghargai hasilnya. Sesuatu yang berbentuk cabaran yang kita sedia hadapi walaupun orang lain mengangkat tangan menyerah kalah. Sesuatu yang mempunyai persaingan dan kita cekal, tabah dan mempunyai hati yang kebal meneruskan di saat orang lain berhenti. Sesuatu yang tidak terfikir oleh orang lain tetapi kita boleh memikirkannya. Sesuatu yang selalunya TIDAK BOLEH pada fikiran orang lain tetapi BOLEH dalam fikiran kita. Sesuatu yang menjadi penghalang bagi orang lain tetapi bukan rintangan bagi kita. Sesuatu yang besar bagi kita tetapi kecil bagi orang lain. Sesuatu yang boleh orang lain memperingati dan mengenang jasa kita. Sesuatu peninggalan yang meninggalkan cerita dan kisah yang mempamerkan pelbagai emosi tatkala kita mengingatinya. Sesuatu yang menyebabkan kita rindu untuk mengulanginya dan seterusnya membina satu lagi sejarah yang baru...Pernahkah kita merasai kehilangan yang besar dalam hidup kita tentang seseorang? Jika kita pernah merasainya maka seseorang itu pernah membina sejarah dalam kehidupan kita. Pernahkah kita merindui seseorang yang pernah terkesan di hati kita?Jika pernah maka seseorang itu pernah membina sejarah di dalam hati kita. Bila kita telah membina sejarah, hasil peninggalan kita akan menjadi ingatan yang berharga pada setiap orang, ia akan menjadi bahan cerita dan contoh untuk diikuti malah disanjungi. Ibarat bangunan-bangunan sejarah yang berdiri sebagai peringatan kita..sama juga tokoh-tokoh perjuangan tanah air yang berjuang memerdekakan negara dari terus dijajah. Begitulah hebatnya kesan jika kita membina sejarah..

Apa pula menjadi sejarah? Apa bezanya menjadi sejarah dan membina sejarah?.. Memang berbeza..Menjadi sejarah adalah cuma tinggal sebagai kenangan dan ingatan. Sesuatu yang pernah menyakitkan. Sesuatu yang biasa berlaku dan kalau boleh kita tidak mahu lagi ia berlaku. Sesuatu yang pahit untuk diterima namun kita telan jua kerana terpaksa menghadapinya. Sesuatu yang menakluk minda kita pada suatu ketika dan kita hanya kesal memperingatinya. Sesuatu yang kita jadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Kita akan hanya menjadi sejarah bila orang tidak menyukai kita, apa yang kita lakukan pernah mencalar hati orang lain. Mungkin nama kita diingati tetapi orang lain akan hanya ingat nama kita tetapi tidak dapat mengkagumi dan menghargai apa yang pernah kita hasilkan. Ibarat kesan penjajahan di Tanah Melayu, kita cuma ingat British dan Jepun sebagai bangsa penjajah tetapi kita tidak dapat kenang budi mereka di tempat kita kerana kekejaman mereka..dan inilah yang dikatakan menjadi sejarah...Bezakan? Membina sejarah dan menjadi sejarah?..Jadi, bila kita membina sejarah kita akan sentiasa dikenang, sebaliknya jika kita cuma menjadi sejarah mungkin kita tidak memberikan apa-apa makna.

No comments:

Post a Comment