.

Sunday, June 19, 2011

Dimensi Kejayaan


Setiap kejayaan mesti dirancang kerana tiada kejayaan yang terjadi dengan sendiri. Bukan mudah untuk menawan puncak gunung kerana ia terletak terlalu tinggi. Begitu jua halnya dengan kejayaan kerana ia berada di tangga teratas. Dalam kehidupan ini, kejayaan tidak hanya terbatas pada satu aspek sahaja. Kejayaan bukan semata-mata berjaya memiliki segulung ijazah, bukan sekadar lulus dalam peperiksaan. Kejayaan lebih dari itu. Kejayaan seseorang adalah bermula dari langkahnya yang pertama. Apakah sterusnya yang dilalui mampu diatasi. bagaimanakah peringkat-peringkat kesukaran yang ditempuhnya membekalkan cukup kesabaran dalam dirinya untuk meneruskan langkah.



Bukan mudah mendakap kejayaan apatah lagi jika halangan-halangan besar menjadi dinding keterbatasan akal untuk mencapainya. Oleh kerana itu, ianya perlu dirancang dengan teliti. Tidak kiralah apa pun jua yang kita inginkan dalam kehidupan ini, rancanglah agar matlamat terlaksana. Bila kita sudah berjaya merancang, kita akan juga berjaya menempuhnya seterusnya berjaya memiliki apa yang kita inginkan. Itulah kepuasan yang kita cari.


Kejayaan tercipta dalam pelbagai dimensi. Kejayaan tidak terhenti dengan satu kejayaan sahaja kerana kesinambungannya berterusan. Kehidupan ini selagi belum terhenti maka di situlah terletaknya banyak kejayaan yang perlu kita kecapi. Sekali kita berjaya bukan bermakna kita akan sentiasa berjaya sebab itu kita harus merancang...kerana kehidupan ini juga perlu dirancang dengan sebaiknya. 



Liku-liku yang dijalani untuk mendapatkan sebuah kejayaan bukanlah sesuatu boleh dipandang mudah. Setiap orang yang berjaya pernah menangis, pernah kecewa, pernah melalui ertinya derita, pahitnya kehidupan. Melangkah tanpa rasa jemu, semua itu bukanlah halangan..bukanlah tembok batu yang menghalang. Itulah kehidupan..jalanan yang perlu diseberangi untuk menikmati yang lebih baik. Oleh kerana itu bila kita kehilangan sesuatu yang amat kita sayangi percayalah kita akan didatangi dengan sesuatu yang lebih baik.


Kadang-kadang kita terlupa, kesedihan memberikan kita satu makna kegembiraan sebenar, kekecewaan mengajar kita satu erti kejayaan yang tidak terduga. Kenapa perlu berhenti untuk mencari kemenangan dalam diri sendiri?kenapa berhenti untuk berjalan? kenapa tidak menghargai setiap perjalanan yang pernah kita tempuh? Bukankah kemanisannya bila kita berjaya mematahkan segala kekalahan? Kejayaan yang paling besar adalah apabila kita merasa puas selepas kita melakukan yang terbaik.


Tiada satu usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan telah menjanjikan bagi tiap-tiap manusia yang berusaha itu dengan kejayaan. Hanya orang yang lemah dan tidak meyakini dirinya sendiri sahaja yang tidak pernah nampak kejayaan itu. Orang yang sengaja membutakan matanya untuk melihat kejayaan orang lain sebagai pendorong, orang yang memekakkan telinganya mendengar cerita-cerita kejayaan orang lain dan orang yang membisukan mulutnya untuk bertanyakan dan bercakap mengenai kejayaan orang lain sebagai inspirasi dalam diri.



Setiap kejayaan itu tentulah banyak pengorbanannya. Apabila kita sanggup untuk berkorban, kejayaan bukanlah asing untuk kita. Jika kita ingin berjaya dalam hidup, pandanglah dari semua dimensi. Berjaya dalam pelajaran, berjaya dalam kerjaya, berjaya memilih kehidupan, berjaya dalam persahabatan...


Renung-renungkanlah dan buatlah keputusan yang terbaik dalam kehidupan ini. Jika kita berjaya merancang, kita juga berjaya untuk menang..





Saturday, June 18, 2011

Airmata RajuK dan TitiPaN Doa



Menyedari perjalanan hidup selalunya di luar jangkaan, hari ini mungkin tidak seperti apa yang pernah kita fikirkan di hari semalam malah hari esok pula belum pasti seperti yang kita rancang pada hari ini. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana kita berjalan di atas makrifatNya. Tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan dan khilaf, begitu jua setiap insan yang bersalah itu tidak harus dihukum untuk tidak berpeluang melakukan perkara yang betul. Airmata ini akan terus jatuh dan menitis tiapkali bertemu ruang kegelapan. Namun apakah sudah tidak ada lagi ruang kejernihan untuknya???
Tuhan sering memberi peluang kepada hambaNya yang berdosa, apakah kehebatan yang ada kepada kita untuk tidak memberi peluang untuk orang lain memperbetulkan kesilapannya? Apakah hak kita untuk menyingkirkan seseorang yang kita anggap bersalah hanya semata-mata mengikut rasa hati kita sendiri?
Jika kita membenci memadailah dengan rasa insaf memiliki hati yang keruh dalam jiwa yang penuh kegelapan...kerana benci yang kita hadirkan cuma pembakar kepada ego-ego yang kita sisipkan. Ya..adakala tekanan yang kita alami amat memedihkan hati, memadailah dengan airmata pembasuh luka di hati, airmata yang penuh rajuk di hati, tak disimpan untuk rasa benci. Cukuplah dengan airmata kita cuba mencari tenang bukan musuh yang meleburkan hati. Tangisan bukan untuk mencipta seribu lagi kedukaan, ia sebagai menggugurkan luka-luka yang terhiris di jiwa, moga-moga air mata yang berguguran itu akan gugur bersama kesedihan yang datang menghiba. Biarlah rajuk seketika membawa hati yang lara tapi bukan dendam yang ditinggalkan bersisa.
Airmata dan rajuk kita terhadap seseorang biarlah dititipkan bersamanya setulus doa. Jika dia pernah berdosa kepada kita, doakanlah agar Tuhan membuka pintu hatinya memberi pengampunan atas segala perbuatannya. Jika dia pernah menyakiti dan mengguris perasaan kita, doakanlah moga Tuhan menganugerahkan sekeping hati yang tulus kepadanya. Jika kita kita tidak mampu untuk melupakan segala kejahatan yang pernah dilakukan kepada kita, doakanlah moga dia membalas segala kejahatan dengan kebaikan kepada kita. Tiada yang mustahil, kerana hanya kita yang mampu merubahnya. Moga-moga apa yang kita lakukan dibalas dengan seribu kerahmatan dariNya...Hanya Dia yang tahu.

Hati KristaL


Apa yang terluah dari hati adalah apa yang kita ingin orang lain cuba mengerti. Adakah pasti yang diluahkan itu dapat difahami dan dimengerti dengan baik? Terpulang bagaimana cara seseorang itu menerimanya. Namun rasa terkilan akan berlaku sekiranya maksud hati itu tidak dapat betul-betul difahami..atau cetusan rasa tidak benar-benar dirasai sebaliknya apa yang ada cuma rasa sakit di hati.

Dalam hati kita, hanya kita yang tahu segala rasa yang tersimpan, walau kita cuba menyampaikan bersungguh-sungguh, penerimaan seseorang tidak mungkin sama. Ada yang menghargai, ada yang membenci, ada yang teruja, ada juga yang menginsafi malah ada juga yang bersyukur..namun kita tidak boleh memaksa untuk orang lain fahami apa yang tersimpan di hati kita. Mungkin tidak tercapai dek akal semua orang untuk menelusi setiap maksud bicara dari hati memadailah seandainya yang menilai itu sama ada baik ataupun buruk berilah peluang kepada si penilai untuk menentukan. Jika tidak sampai maksud di hati, sesungguhnya percayalah pada diri sendiri bahawa niat yang baik tidak semuanya terlihat..terkadang tersimpan dan terkunci di hati.

Perasaan marah dan benci bukanlah kudrat kita menghalanginya, ia terzahir kerana tidak sempat memberi ruang kepada akal menimbangkannya. Maka janganlah engkau kecewa dengan segala yang pernah menyakiti hatimu. Redhalah menerimanya. Pasrahlah dalam ketentuanNya yang lebih mengetahui. Didiklah hatimu supaya mempunyai kekuatan dalam mengharungi segala ujian dan cabaran. Hati yang tabah..di dalamnya jernih dan bersih seperti 'Hati Kristal'..