.

Sunday, June 19, 2011

Dimensi Kejayaan


Setiap kejayaan mesti dirancang kerana tiada kejayaan yang terjadi dengan sendiri. Bukan mudah untuk menawan puncak gunung kerana ia terletak terlalu tinggi. Begitu jua halnya dengan kejayaan kerana ia berada di tangga teratas. Dalam kehidupan ini, kejayaan tidak hanya terbatas pada satu aspek sahaja. Kejayaan bukan semata-mata berjaya memiliki segulung ijazah, bukan sekadar lulus dalam peperiksaan. Kejayaan lebih dari itu. Kejayaan seseorang adalah bermula dari langkahnya yang pertama. Apakah sterusnya yang dilalui mampu diatasi. bagaimanakah peringkat-peringkat kesukaran yang ditempuhnya membekalkan cukup kesabaran dalam dirinya untuk meneruskan langkah.



Bukan mudah mendakap kejayaan apatah lagi jika halangan-halangan besar menjadi dinding keterbatasan akal untuk mencapainya. Oleh kerana itu, ianya perlu dirancang dengan teliti. Tidak kiralah apa pun jua yang kita inginkan dalam kehidupan ini, rancanglah agar matlamat terlaksana. Bila kita sudah berjaya merancang, kita akan juga berjaya menempuhnya seterusnya berjaya memiliki apa yang kita inginkan. Itulah kepuasan yang kita cari.


Kejayaan tercipta dalam pelbagai dimensi. Kejayaan tidak terhenti dengan satu kejayaan sahaja kerana kesinambungannya berterusan. Kehidupan ini selagi belum terhenti maka di situlah terletaknya banyak kejayaan yang perlu kita kecapi. Sekali kita berjaya bukan bermakna kita akan sentiasa berjaya sebab itu kita harus merancang...kerana kehidupan ini juga perlu dirancang dengan sebaiknya. 



Liku-liku yang dijalani untuk mendapatkan sebuah kejayaan bukanlah sesuatu boleh dipandang mudah. Setiap orang yang berjaya pernah menangis, pernah kecewa, pernah melalui ertinya derita, pahitnya kehidupan. Melangkah tanpa rasa jemu, semua itu bukanlah halangan..bukanlah tembok batu yang menghalang. Itulah kehidupan..jalanan yang perlu diseberangi untuk menikmati yang lebih baik. Oleh kerana itu bila kita kehilangan sesuatu yang amat kita sayangi percayalah kita akan didatangi dengan sesuatu yang lebih baik.


Kadang-kadang kita terlupa, kesedihan memberikan kita satu makna kegembiraan sebenar, kekecewaan mengajar kita satu erti kejayaan yang tidak terduga. Kenapa perlu berhenti untuk mencari kemenangan dalam diri sendiri?kenapa berhenti untuk berjalan? kenapa tidak menghargai setiap perjalanan yang pernah kita tempuh? Bukankah kemanisannya bila kita berjaya mematahkan segala kekalahan? Kejayaan yang paling besar adalah apabila kita merasa puas selepas kita melakukan yang terbaik.


Tiada satu usaha yang tidak berhasil kerana Tuhan telah menjanjikan bagi tiap-tiap manusia yang berusaha itu dengan kejayaan. Hanya orang yang lemah dan tidak meyakini dirinya sendiri sahaja yang tidak pernah nampak kejayaan itu. Orang yang sengaja membutakan matanya untuk melihat kejayaan orang lain sebagai pendorong, orang yang memekakkan telinganya mendengar cerita-cerita kejayaan orang lain dan orang yang membisukan mulutnya untuk bertanyakan dan bercakap mengenai kejayaan orang lain sebagai inspirasi dalam diri.



Setiap kejayaan itu tentulah banyak pengorbanannya. Apabila kita sanggup untuk berkorban, kejayaan bukanlah asing untuk kita. Jika kita ingin berjaya dalam hidup, pandanglah dari semua dimensi. Berjaya dalam pelajaran, berjaya dalam kerjaya, berjaya memilih kehidupan, berjaya dalam persahabatan...


Renung-renungkanlah dan buatlah keputusan yang terbaik dalam kehidupan ini. Jika kita berjaya merancang, kita juga berjaya untuk menang..





No comments:

Post a Comment